Site icon TechNave BM

Siri Apple iPhone 14 hadir dengan lapan warna, harga mungkin meningkat 15%

Beberapa pengeluar pihak ketiga telah membocorkan maklumat mengenai penampilan dan padanan warna siri Apple iPhone 14. Mereka mengatakan bahawa penampilan siri iPhone 14 adalah sama seperti pendedahan sebelum ini tetapi dengan modul kamera belakang lebih besar. Pada masa yang sama, terdapat sebanyak lapan warna untuk siri iPhone 14.

Jika dilihat daripada iPhone sebelumnya, siri iPhone 14 sepatutnya tersedia dalam warna putih, hitam, grafit, perak dan emas. Lima warna ini tetap dan beberapa penambahan warna baharu. Menurut pendedahan sebelum ini, warna biru, hijau dan merah jambu mungkin tidak tersedia. Namun, terdapat penambahan warna emas gangsa dan ungu.

Berita sebelum ini mendedahkan model Pro siri iPhone 14 akan menggunakan skrin lubang tebuk berbentuk pil manakala model bukan Pro akan terus menggunakan skrin takuk. Isu lain ialah harga.

Menurut laporan, purata harga jualan siri iPhone 14 mungkin 15% lebih mahal berbanding generasi sebelumnya terutama model Pro yang dikatakan lebih mahal kira-kira 1,000 yuan berbanding generasi sebelumnya. Namun, semua ini masih belum disahkan oleh Apple sendiri. Sama-sama kita nantikan kemunculan siri Apple iPhone 14.

Beritahu kami di Facebook pendapat anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CNMO

Exit mobile version