Site icon TechNave BM

Siri ASUS Zenfone 8 bakal hadir dengan model Mini! Skrin 5.9 inci, Snapdragon 888, OLED 120Hz

Selain sinonim dengan dunia komputer riba, ASUS turut mengeluarkan beberapa telefon pintar terkenal setiap tahun seperti siri ASUS Zenfone dan siri ASUS ROG. Terkini, butiran mengenai model dan beberapa spesifikasi siri ASUS Zenfone 8 telah mula timbul.

Menurut sumber, mereka telah menemui beberapa kod nama peranti dalam sumber kod kernel ASUS ROG Phone 5. Antaranya adalah kod nama “SAKE”, “PICASSO” dan “VODKA”. Untuk pengetahuan anda, siri Zenfone 7 terdahulu memiliki kod nama “TEQUILA”. Jadi, kesemua kod nama yang ditemui dijangka hadir sebagai siri ASUS Zenfone 8. Sebenarnya, terdapat juga kod nama “SAKE_PLUS” DAN “VODKA_PLUS”, namun identiti sama ada ia adalah model daripada siri Zenfone 8 tidak dapat dipastikan.

Untuk peranti dengan kod nama “SAKE”, ia dijangka memiliki spesifikasi janaan Snapdragon 888, skrin berukuran 5.92 inci OLED 120Hz, bersama tetapan kamera Sony IMX686 64MP dan Sony IMX663 baharu. Sementara spesifikasi peranti dengan kod nama “VODKA” masih misteri, peranti dengan kod nama “PICASSO” bakal hadir dengan skrin OLED 6.67 inci dan tetapan kamera seakan sama dengan “SAKE”, tetapi terdapat lensa tambahan 24MP dan 8MP telefoto.

Terdahulu, Apple adalah salah satu jenama yang memulakan kembali pengeluaran telefon pintar bersaiz kecil iaitu iPhone 12 mini. Namun, ia dilihat tidak mendapat sambutan hangat.

Apakah pendapat anda mengenai berita ini? Kongsikan bersama kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: XDA Developers

Exit mobile version