Google semalam telah menunjukkan pandangan pertama untuk telefon pintar andalan mereka Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Antara spesifikasi yang paling penting untuk siri kali ini adalah cipset baru buatan mereka serta sistem kamera yang baru.
Mengikut Google, siri Pixel 6 akan menggunakan cipset Google Tensor. Cipset ini direka khas sepenuhnya oleh Google sendiri dan mempunyai konsep yang sama seperti cipset siri A dari Apple untuk peranti iPhone.
Google tidak mengesahkan sebarang spesifikasi cipset ini, namun mereka menyatakan bahawa ia adalah cipset yang paling pantas untuk telefon Pixel buat masa ini. Berdasarkan sumber lalu, cipset ini mungkin dihasilkan oleh Samsung.
Mengenai kameranya pula, kedua-dua model akan hadir dengan kamera utama dan ultra lebar tetapi Pixel 6 pro akan juga mempunyai tambahan kamera telefoto 4x.
Google juga dikhabarkan telah menaikkan kualiti rakaman videonya yang dikatakan dapat merakam video kualiti setaraf video dari iPhone 12 Pro Max.
Yang lebih menarik adalah reka bentuk barunya. Siri kali ini mempunyai modul kamera mengiring yang mengingatkan akan telefon Nexus 6P. Kedua-dua model hadir dengan tiga warna berbeza dan perisian Android 12 dari dalam kotak.
Pixel 6 dan 6 Pro juga mempunyai spesifikasi paparan yang baru. Pixel 6 menggunakan skrin rata dengan kadar segar semula 90Hz manakala Pixel 6 Pro dengan skrin melengkung 120Hz.
Siri Pixel 6 dijangka akan dilancarkan pada musim luruh ini, sekitar bulan Oktober. Buat masa ini, tiada lagi berita mengenai harganya, namun ia dijangka akan ditawarkan dengan harga premium seperti pesaing yang lain.
Adakah anda tidak sabar dengan telefon baru Google ini? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber : GSMArena

