Site icon TechNave BM

Siri Google Pixel 7 dilancar: Tensor G2, paparan AMOLED 6.3″ dan kamera 50MP bermula ~RM2,785

Google melancarkan siri Google Pixel 7 pada hari ini yang merangkumi Google Pixel 7 Pro dan Google Pixel 7. Siri Pixel 7 ini dikuasakan oleh cipset Tensor G2 baharu dengan GPU Mali-G710 MC10 menampilkan keupayaan pengimejan yang dipertingkatkan.

Pixel 7 menampilkan RAM 8GB, storan 128/ 256GB, paparan AMOLED 6.3 inci 90Hz dengan resolusi FHD+ dan bateri 4,355mAh. Ia mempunyai dwi-kamera yang terdiri daripada kamera utama utama 50MP + ultra lebar 12MP di bahagian belakang dan kamera swafoto 10.8MP di hadapan. 

Pixel 7 Pro pula dilengkapi dengan RAM 12GB, storan 128/ 256/ 512GB, paparan AMOLED LTPO (kadar penyegaran berubah-ubah 10-120Hz) 6.71 inci dengan resolusi QHD+ dan bateri 5,000mAh. Pixel 7 Pro menampilkan tri-kamera belakang iaitu kamera utama 50MP + ultra lebar 12MP + telefoto 48MP dan kamera swafoto 10.8MP di bahagian hadapan. 

Kamera utama menggunakan sensor 1/1.31 inci dengan pilihan binning 4-dalam-1 dan Penstabilan Imej Optik (OIS) manakala ultra-lebar menawarkan medan pandangan 125.8 darjah dengan autofokus dan keupayaan makro. Bagi telefoto, ia menawarkan zum optik 5x yang merupakan peningkatan daripada zum optik 4x Pixel 6 Pro. 

Cipset Tensor G2 membolehkan beberapa helah kamera dan pengimejan baharu pada siri Pixel 7 kerana ia dapat menjalankan tugas pembelajaran mesin 60 peratus lebih pantas dan 20 peratus lebih cekap daripada pendahulunya. Antara ciri kamera baharu termasuk Photo Unblur yang menggunakan AI termaju Google untuk menghilangkan kabur dan hingar daripada foto lama. 

Selain itu, terdapat juga Super Res Zoom yang menggunakan fotografi pengiraan untuk menjelaskan lagi butiran foto apabila anda melakukan zum sehingga 30x. Ciri ketara lain termasuk pengimbas cap jari dalam paparan, mod Extreme Battery Saver, kalis habuk dan air IP68 serta 3 kemas kini OS utama serta jaminan tampung keselamatan 5 tahun. 

Pixel 7 dan Pixel 7 Pro kini tersedia untuk pra-tempah di negara terpilih. Pixel 7 bermula pada harga USD599 (~RM2,785) dan Pixel 7 Pro berharga USD899 (~RM4,180).

Seperti yang diketahui ramai, peranti Google tidak akan dilancarkan di Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version