HONOR Malaysia bakal melancarkan siri telefon pintar HONOR 400 5G dan HONOR 400 Pro 5G pada 22 Mei 2025. Selepas menunjukkan rekaannya kepada orang awam pada minggu lalu, kini HONOR berkongsi satu ciri yang unik dan menarik pada telefon ini.
Ia akan dilengkapi fungsi AI Image to Video yang akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan Google Cloud AI untuk menukarkan sebarang gambar kepada video pendek. Anda boleh ambil gambar baharu atau pilih gambar lama, kemudian biarkan ia diproses dengan AI Image to Video, kemudian anda boleh lihat gambar tadi dianimasikan dengan fungsi tersebut.
Kami telah mencubanya sewaktu taklimat media pada minggu lalu dan ia berfungsi dengan agak baik. Sebagai makluman, HONOR 400 merupakan telefon pertama dalam dunia yang dilengkapi fungsi ini.
Beberapa fungsi AI lain termasuklah AI Eraser 2.0 untuk memadam objek yang tidak diingini dalam gambar, AI Cutout untuk pisahkan latar belakang, AI Outpainting untuk luaskan gambar dan banyak lagi.
Selain itu, HONOR 400 akan dilengkapi kamera utama 200MP dengan sensor berukuran 1/1.4 inci yang agak besar untuk kamera telefon pintar. Ia turut menyokong penstabilan imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS) untuk gambar dan video yang lebih jelas dalam pelbagai situasi cahaya.
Ia turut mempunyai kamera ultra-lebar 12MP dan kamera telefoto 50MP yang menyokong zum digital sehingga 50 kali, manakala di hadapan pula terdapat kamera swafoto 50MP.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

