Malaysia sekali lagi menjadi pasaran pertama dunia apabila HONOR secara rasmi melancarkan siri HONOR 600 merangkumi model HONOR 600 dan HONOR 600 Pro. Pelancaran ini menandakan langkah agresif HONOR dalam segmen “accessible flagship” dengan gabungan AI imaging, prestasi tinggi dan spesifikasi premium. Kedua-dua peranti hadir dengan kamera utama 200MP Super Sensing bersensor besar 1/1.4 inci.
Model Pro dibezakan dengan lensa telefoto 50MP yang menyokong sehingga 120x zoom bersama penstabilan imej tahap CIPA 6.5 sesuai untuk tangkapan jarak jauh dan kondisi cahaya rendah. Versi standard pula menawarkan sehingga 30x zoom. Kedua-dua turut dilengkapi Night Engine bagi memastikan warna lebih tepat serta mengurangkan overexposure dalam situasi mencabar.
Ciri AI turut menjadi fokus utama menerusi fungsi AI Image to Video 2.0. Ia membolehkan pengguna menggabungkan sehingga tiga imej dengan arahan teks untuk menghasilkan klip video pendek secara terus dalam peranti termasuk pilihan templat sinematik dan kesan terbina. HONOR 600 Pro menggunakan cip Snapdragon 8 Elite manakala HONOR 600 dijana oleh Snapdragon 7 Gen 4.
Kedua-duanya menampilkan skrin 6.57 inci dengan kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak sehingga 8000 nits selain teknologi perlindungan mata seperti PWM dimming frekuensi tinggi. Bateri menjadi antara kekuatan utama apabila kedua-dua model dilengkapi bateri silikon karbon 7000mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W serta pengecasan berbalik.
Model Pro juga menyokong pengecasan wayarles 50W. Untuk ketahanan, siri HONOR 600 hadir dengan penarafan IP68 dan IP69 serta pensijilan SGS lima bintang untuk rintangan jatuh dan tekanan. Di Malaysia, HONOR 600 Pro ditawarkan pada harga RM3,099 (12/256GB) dan RM3,299 (12/512GB) manakala HONOR 600 pula berharga RM2,599 bagi varian 12/512GB.
Tempahan dibuka sehingga 29 April 2026 melalui kedai rasmi dan rakan pengedar dengan ketersediaan bermula 30 April 2026. Sebagai promosi, pembeli HONOR 600 Pro akan menerima rebat RM200 bersama hadiah kamera Fujifilm Instax Mini LiPlay+, perlindungan skrin dan badan selama 365 hari, jaminan lanjutan setahun serta perlindungan kerosakan cecair.
Untuk HONOR 600, pembeli turut menerima rebat RM200 serta jam tangan HONOR Choice Watch 2 Epic bersama pakej perlindungan yang sama. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

