Site icon TechNave BM

Siri HONOR Pad 20 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi

HONOR bakal melancarkan siri Pad 20 di pasaran Malaysia berikutan kejayaan mereka mengekalkan kedudukan sebagai jenama tablet Android nombor satu di Malaysia selama 27 bulan berturut-turut bagi tempoh suku kedua 2024 hingga suku kedua 2026.

HONOR memegang 32 peratus pegangan pasaran di mana satu daripada setiap tiga tablet Android yang dijual di Malaysia merupakan peranti keluaran jenama berkenaan. Peranti membawakan beberapa peningkatan ketara merangkumi paparan skrin, sistem pembesar suara yang dinaik taraf, prestasi peranti, kapasiti bateri lebih besar dan integrasi ciri produktiviti berasaskan AI.

Ia disasarkan pengguna yang memerlukan fungsi pengkomputeran harian sebagai alternatif kepada komputer riba. Untuk memudahkan urusan kerja dan pembelajaran, siri Pad 20 dilengkapi dengan PC Mode bagi merapatkan jurang antara kemudahalihan tablet dan keupayaan produktiviti komputer.

Di samping itu, ekosistem peranti HONOR kini menyokong ketersambungan rentas sistem operasi yang turut merangkumi keserasian dengan peranti Mac serta iPhone. Langkah ini membolehkan pemindahan data dan sambungan dibuat secara terus antara pelbagai jenis peranti.

Mengenai ketersediaan, HONOR menyatakan maklumat terperinci berhubung spesifikasi rasmi dan penawaran harga siri Pad 20 di Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version