Site icon TechNave BM

Siri HUAWEI nova 11 dilancar: Dilengkapi SD 778G, AMOLED 120Hz, cas pantas 100W bermula ~RM1,620

HUAWEI telah melancarkan model baharu untuk siri telefon pintar nova iaitu HUAWEI nova 11. Ia terdiri daripada tiga varian utama iaitu HUAWEI nova 11, HUAWEI nova 11 Pro dan HUAWEI nova 11 Ultra dan buat masa ini ia hanya ditawarkan dalam pasaran China.

Ketiga-tiga telefon dilengkapi cipset kelas pertengahan Qualcomm Snapdragon 778G, namun ia tidak menyokong rangkaian 5G. Rekaan belakang untuk varian Pro dan Ultra terdapat dalam lima pilihan, iaitu warna hijau dan hitam untuk permukaan kulit (vegan leather), serta putih dan emas untuk permukaan kaca.

Untuk varian Pro dan Ultra, ia dilengkapi skrin AMOLED 10-bit berukuran 6.78 inci dengan resolusi 2652×1200, kadar segar semula 120Hz, kadar bacaan sentuh 300Hz dan perlindungan kaca Kunlun Glass yang melengkung di bahagian sisi. Di bahagian atas kiri, terdapat dua kamera swafoto 60MP+8MP yang diletakkan dalam lubang berbentuk pil.

Modul kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP dengan nilai apertur boleh ubah antara f/1.4 dan f/4.0, kamera ultra-lebar 8MP dan sensor suhu warna sepuluh saluran (ten-channel colour temperature sensor).

Kedua-dua varian ini mempunyai bateri 4,500mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 100W dan pengecasnya turut disertakan dalam kotak. Sistem operasinya ialah HarmonyOS 3.0.

Untuk varian nova 11 standard pula, ia mempunyai skrin AMOLED 10-bit berukuran 6.7 dengan kadar segar semula 120Hz dan kaca yang rata sepenuhnya. Ia menempatkan satu sahaja kamera swafoto dalam sebuah lubang tebuk kecil di bahagian tengah atas.

Di belakang, ia masih mempunyai kamera 50MP+8MP seperti dalam varian Pro dan Ultra. Baterinya berkapasiti 4,500mAh sahaja dan sekadar menyokong kadar pengecasan pantas 66W.

Untuk luarannya, ia ditawarkan dalam warna hijau, hitam, putih dan emas dan semuanya mempunyai permukaan belakang plastik.

Berikut adalah senarai harga HUAWEI nova 11 di China:

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: HUAWEI

Exit mobile version