Site icon TechNave BM

Siri HUAWEI P50 mungkin akan dilancar pada 17 April, khas untuk pasaran China sahaja

Walaupun dengan pelbagai halangan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS), HUAWEI nampaknya akan teruskan dengan pelancaran siri telefon pintar andalan untuk tahun ini, HUAWEI P50. Terbaru, terdapat sebuah maklumat yang menyatakan bahawa HUAWEI P50 mungkin akan dilancar pada 17 April 2021.

Maklumat ini datang daripada pemberita dan blogger China 馬然熊猫 (Bald Panda) yang turut menyatakan bahawa telefon itu akan dijual dalam jumlah yang lebih sedikit berbanding tahun-tahun sebelum ini. Oleh yang demikian, telefon itu mungkin bakal menjadi eksklusif untuk pasaran China dan tidak dipasarkan ke negara-negara lain.

Siri HUAWEI P50 dikatakan bakal terdiri daripada P50, P50 Pro dan P50 Pro+ di mana P50 akan dilengkapi cipset Kirin 9000E manakala dua lagi varian akan dilengkapi Kirin 9000. Antara ciri lain yang menarik adalah skrin dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dan sensor kamera 1 inci.

Kongsi pendapat anda tentang maklumat P50 ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ITHome

Exit mobile version