Site icon TechNave BM

Siri HUAWEI Pura 90 Pro dilancar: Cip Kirin 9030S dan kamera 200MP bermula ~RM3,187

Selain model lipat Pura X Max, HUAWEI turut memperkenalkan dua model mercu baharu iaitu Pura 90 Pro dan Pura 90 Pro Max. Pura 90 Pro hadir dengan skrin 6.6 inci manakala Pro Max lebih besar pada 6.9 inci yang kedua-duanya menggunakan rekaan lubang punch-hole tunggal. Reka bentuk Pro Max tampil lebih menonjol menerusi konsep “emotional color aesthetic” dengan kemasan bingkai logam gradien dwi-warna pertama dalam industri serta kesan cahaya.

Ia ditawarkan dalam pilihan warna seperti Orange Ocean, Emerald Lake dan Obsidian Black. Model Pro pula hadir dengan pilihan warna lebih sederhana seperti Pink Guava dan Coconut White. Pura 90 Pro Max dilengkapi sensor utama 50MP RYYB bersaiz 1/1.28 inci dengan OIS serta apertur boleh ubah f/1.4 hingga f/4.0. Ia turut dipadankan dengan kamera ultra-lebar 40MP dan lensa telefoto periskop 200MP yang menyokong zoom optikal 4x serta sehingga 8x kualiti optikal.

HUAWEI mendakwa sistem ini menawarkan julat dinamik jauh lebih tinggi serta keupayaan menangkap cahaya sehingga lima kali lebih baik berbanding iPhone 17 Pro Max. Bagi Pura 90 Pro, spesifikasi kamera sedikit dikurangkan dengan sensor utama 50MP, ultra-lebar 12.5MP dan telefoto periskop 50MP, namun masih mengekalkan sokongan zoom optikal 4x.

Siri ini menggunakan sistem pengimejan XMAGE dan dilengkapi lensa multispektral Red Maplee bersama ciri seperti foto dinamik 3D, potret dipertingkat dan bantuan AI dalam fotografi. Kedua-dua peranti dijana cip Kirin 9030S dan menjalankan HarmonyOS 6.1. Ciri AI turut merangkumi cadangan pose, komposisi automatik, retouch potret dan penghasilan gambar satu klik.

Pembantu Xiaoyi juga dipertingkat dengan pengecaman objek masa nyata dan pengesanan suara. Model Pro Max dilengkapi kaca Kunlun yang menawarkan rintangan calar sehingga 16 kali lebih baik serta ketahanan jatuh meningkat 25% selain mengurangkan pantulan sehingga 70%. Pura 90 Pro ditawarkan bermula 5,499 yuan (~RM3,187) untuk varian 12/256GB hingga 7,499 yuan (~RM4,347) untuk varian 16/1TB.

Pura 90 Pro Max pula bermula 6,499 yuan (~RM3,767) dan mencecah 8,499 yuan (~RM4,927) untuk varian tertinggi 16/1TB. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: VMall 1|2

Exit mobile version