Site icon TechNave BM

Siri HUAWEI WATCH FIT 5 rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM649

Terbaharu, HUAWEI secara rasmi telah melancarkan siri baharu HUAWEI WATCH FIT 5 di Malaysia dengan dua model utama iaitu HUAWEI WATCH FIT 5 Pro dan HUAWEI WATCH FIT 5. Kedua-dua jam pintar hadir dengan paparan lebih cerah, fungsi kesihatan dipertingkat dan pengalaman “Mini-Workout” baharu yang lebih interaktif.

Model WATCH FIT 5 Pro tampil dengan rekaan lebih premium berbanding generasi terdahulu menerusi penggunaan sapphire glass, bezel titanium alloy dan bahan aerospace-grade untuk ketahanan lebih baik. Peranti memfokuskan pengalaman ringan tetapi tahan lasak khusus untuk pengguna aktif dan peminat sukan luar. Paparannya menampilkan AMOLED 1.92 inci dengan kadar segar semula adaptif LTPO dan tahap kecerahan puncak sehingga 3000 nits.

Bezelnya juga kini lebih nipis bagi memberikan nisbah skrin-ke-badan yang lebih menyeluruh. Salah satu fungsi baharu yang diperkenalkan ialah “Mini-Workout” iaitu sesi senaman ringkas yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat sepanjang hari. Karakter animasi panda akan menunjukkan pergerakan regangan dan senaman secara terus pada muka jam.

Fungsi ini menyokong senaman untuk beberapa bahagian badan termasuk leher, bahu dan belakang. Selain itu, WATCH FIT 5 Pro dilengkapi teknologi HUAWEI TruSense yang menyokong pemantauan kadar degupan jantung, oksigen dalam darah, tidur, tekanan dan kesejahteraan emosi. Ia turut menawarkan ciri tambahan seperti ECG, analisis pulse wave arrhythmia, pengesanan kekerasan arteri dan sistem TruSleep 5.0 yang dipertingkat.

Untuk pengguna yang mahukan rekaan lebih ringan, WATCH FIT 5 standard hadir dengan berat sekitar 27g bersama paparan AMOLED 1.82 inci yang menyokong kecerahan puncak sehingga 2500 nits. Walaupun lebih murah, ia masih menyokong panggilan Bluetooth, GPS, pemantauan tidur dan bateri sehingga 10 hari.

Kedua-dua model mampu menawarkan sehingga 10 hari hayat bateri untuk penggunaan ringan dan sekitar tujuh hari bagi penggunaan biasa. Ia juga boleh dicas penuh dalam kira-kira 60 minit. HUAWEI WATCH FIT 5 ditawarkan pada harga RM799 manakala WATCH FIT 5 Pro pula berharga RM1,099. Menariknya, terdapat promosi pelancaran dengan harga selepas baucar masing-masing RM649 dan RM999 bersama hadiah percuma bernilai sehingga RM585.

Selain siri WATCH FIT 5, HUAWEI turut memperkenalkan HUAWEI WATCH ULTIMATE DESIGN Spring Edition iaitu jam tangan pintar mewah baharu yang dibangunkan bersama pereka barang kemas terkenal, Francesca Amfitheatrof. Model premium ini tampil dengan rekaan kristal sapphire potongan berlian, mahkota bertatah berlian asli dan tali yang dihiasi berlian semula jadi.

Walaupun memfokuskan elemen fesyen dan kemewahan, ia masih hadir dengan ciri kesihatan lengkap seperti sistem sensor X-TAP, ECG, pemantauan emosi, tidur dan tekanan selain menyokong eSIM, pembayaran Touch ’n Go QR terus dari jam serta lebih 100 mod senaman. HUAWEI WATCH ULTIMATE DESIGN Spring Edition dijual pada harga RM17,999 dan akan mula tersedia bermula 26 Mei ini.

Ia boleh didapati menerusi laman rasmi HUAWEI Malaysia serta stor rasmi di Lazada, Shopee dan TikTok Shop. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version