Sebelum ini, Infinix telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar Infinix NOTE 60 Ultra yang dibina dengan kerjasama syarikat automotif Itali, Pininfarina, pada 2026. Infinix masih belum memberi sebarang maklumat lanjut mengenai telefon itu, namun kini terdapat maklumat baharu mengenai variannya.
Berdasarkan maklumat daripada agensi kerajaan Indonesia yang mengawal selia kemasukan peranti (SDPPI), Infinix akan melancarkan tiga varian iaitu Infinix NOTE 60, Infinix NOTE Edge dan Infinix NOTE 60 Pro.
Setiap varian ini mempunyai nombor model X6879 (NOTE 60), X6887 (NOTE Edge) dan X6878 (NOTE 60 Pro).
Sebelum ini, spesifikasi untuk Infinix Note 60 Pro telah pun diketahui melalui penanda aras Geekbench. Ia bakal menjadi telefon Infinix pertama yang menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon.
Lebih spesifik lagi, ia bakal menggunakan cipset Snapdragon 7s Gen 4 yang baru dilancar pada Ogos lepas. Ia turut mempunyai RAM 8GB dan menggunakan sistem operasi Android 16.
Selain itu, Infinix NOTE Edge mungkin bakal menjadi sebuah telefon pintar dengan rekaan yang sangat nipis.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina

