Site icon TechNave BM

Siri iPhone 17 dijangka hadir dengan pilihan SIM Fizikal & eSIM bawa kapasiti bateri berbeza

Menjelang pelancaran rasmi siri iPhone 17 pada 9 September ini, laporan baharu mendedahkan kapasiti bateri model-model berkenaan menerusi pangkalan data di China. Maklumat itu, yang dikongsikan oleh akaun X ShrimpApplePro, menunjukkan bahawa iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max akan hadir dalam versi dengan atau tanpa slot SIM fizikal, bergantung kepada pasaran.

Namun begitu, untuk model asas iPhone 17, hanya satu kapasiti bateri setakat ini ditemui dalam pangkalan data tersebut. Kehadiran atau ketiadaan slot SIM fizikal menjadi salah satu perbezaan penting kerana ia memberi kesan pada ruang dalaman peranti. Model yang mengekalkan slot SIM dilaporkan mempunyai kapasiti bateri yang lebih kecil sedikit berbanding varian eSIM sahaja. Malah, iPhone 17 Air dijangka paling banyak dikeluarkan tanpa slot SIM fizikal kerana rekaan ultra-nipisnya yang terhad dari segi ruang dalaman.

ModelDengan SIM CardTanpa SIM Card
iPhone 173,692 mAh
iPhone 17 Air3,036 mAh3,149 mAh
iPhone 17 Pro3,988 mAh4,252 mAh
iPhone 17 Pro Max4,823 mAh5,088 mAh

Walaupun begitu, sesetengah pasaran seperti China mungkin masih menawarkan model dengan slot SIM kerana kekangan peraturan dan tahap penggunaan eSIM. iPhone 17 Pro Max berpotensi menjadi iPhone pertama dengan bateri melebihi 5,000 mAh, sekali gus menawarkan peningkatan hampir 8% berbanding pendahulunya. Sementara itu, iPhone 17 Air dijangka hadir dengan bateri sekitar 3,000 mAh, namun akan disokong oleh modem C1 yang lebih jimat kuasa serta khabar angin mengenai pengenalan sarung bateri rasmi.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: X

Exit mobile version