Site icon TechNave BM

Siri iQOO 9 akan dilancar untuk pasaran antarabangsa bersama varian baharu iQOO 9SE

Siri telefon pintar iQOO 9 telah pun dilancar di China pada 5 Januari 2022 dan ia terdiri daripada dua varian utama iaitu iQOO 9 dan iQOO 9 Pro. Kini siri peranti itu disahkan akan dilancar untuk pasaran antarabangsa dalam masa terdekat bersama sebuah varian baharu.

Siri iQOO 9 akan dilancar di India bersama varian iQOO 9SE dan ketiga-tiga varian tersebut bakal dilengkapi cipset yang berasingan. Menurut sumber, iQOO 9SE akan dilengkapi cipset Snapdragon 888, iQOO 9 akan dilengkapi cipset Snapdragon 888+ dan iQOO 9 Pro akan dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 1.

Daripada segi skrin, iQOO 9SE akan dilengkapi skrin AMOLED FullHD+ berukuran 6.62 inci, iQOO 9 akan dilengkapi skrin AMOLED FullHD+ dengan kedalaman warna (colour depth) 10-bit berukuran 6.56 inci dan iQOO 9 Pro akan dilengkapi skrin E5 AMOLED QuadHD+ berukuran 6.78 inci. Ketiga-tiga varian bakal menyokong kadar 120Hz.

Semua varian iQOO 9 mungkin akan dilengkapi tiga kamera, di mana iQOO 9 Pro akan dilengkapi kamera utama 50MP dengan sensor Samsung GN5, kamera ultra-lebar 50MP dan sebuah lagi kamera 16MP. iQOO 9 pula mempunyai kamera utama 48MP manakala maklumat kamera iQOO 9SE masih belum diketahui.

iQOO 9SE dikhabarkan akan dijual pada harga bermula INR35,000 (~RM1,960) di India manakala varian iQOO 9 lain akan dijual pada harga lebih tinggi. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version