Site icon TechNave BM

Siri Nothing Phone (4a) diumum dengan SD 7 Gen 4, bakal tiba di Malaysia 1 April ini

Nothing secara rasmi memperkenalkan dua telefon pintar baharu dalam siri Phone (4a) iaitu Nothing Phone (4a) dan Nothing Phone (4a) Pro. Kedua-dua model hadir dengan rekaan lut sinar ikonik, kamera periskop 50MP dan cip Snapdragon siri 7 serta sistem operasi Nothing OS 4.1 berasaskan Android 16.

Phone (4a) Pro menggunakan binaan metal unibody setebal 7.95mm bersama perlindungan IP65 dan sistem Glyph Matrix yang terdiri daripada 137 mini-LED untuk paparan notifikasi visual. Phone (4a) pula mengekalkan rekaan lut sinar dengan kamera tengah serta memperkenalkan Glyph Bar baharu yang menggunakan 63 mini-LED dalam tujuh zon cahaya untuk memaparkan notifikasi.

Bagi fotografi, Phone (4a) Pro dilengkapi kamera utama Sony LYT700c bersama kamera telefoto periskop 50MP 3.5x OIS yang menyokong zum sehingga 140x selain kamera ultra-lebar dan kamera swafoto 32MP. Phone (4a) pula menawarkan kamera utama 50MP OIS bersama kamera periskop 50MP 3.5x, ultra lebar Sony dan kamera swafoto 32MP dengan julat zum sehingga 70x.

Phone (4a) Pro menggunakan skrin AMOLED 6.83 inci beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak 5000 nits. Ia dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4 bersama memori LPDDR5X dan storan UFS 3.1. Phone (4a) pula hadir dengan skrin AMOLED 6.78 inci 120Hz serta cip Qualcomm Snapdragon 7s Gen 4 yang dipadankan dengan memori LPDDR4x dan storan UFS 3.1.

Kedua-dua model dilengkapi bateri 5080mAh dengan sokongan pengecasan pantas 50W dan dijanjikan tiga tahun kemas kini Android serta enam tahun tampalan keselamatan. Untuk pasaran Malaysia, Phone (4a) akan ditawarkan dalam warna hitam, putih, biru dan merah jambu manakala Phone (4a) Pro hadir dalam warna hitam, perak dan merah jambu.

Maklumat harga dan ketersediaan tempatan dijangka diumumkan pada 1 April 2026. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version