Site icon TechNave BM

Siri OnePlus 9 akan dilancar pada 23 Mac, bakal tampilkan kerjasama dengan Hasselblad

Siri telefon pintar andalan OnePlus 9 akhirnya sudah pun mempunyai tarikh pelancaran rasmi iaitu pada 23 Mac 2021 jam 10:00 pagi EDT (10:00 malam waktu Malaysia).

OnePlus juga mengesahkan bahawa mereka telah bekerjasama dengan syarikat kamera terkenal dari Sweden, Hasselblad, untuk menghasilkan sistem kamera dalam telefon tersebut. Ini bukanlah kali pertama jenama kamera itu berkolaborasi dengan jenama telefon pintar kerana mereka pernah membuat satu telefon bersama Motorola sebelum ini.

OnePlus turut berkongsi sebuah video pendek dalam mengumumkan tarikh pelancaran OnePlus 9:

Telefon itu mungkin akan dilengkapi sensor kamera Sony IMX789 yang mampu menyokong fotografi 12-bit RAW, rakaman 4K 120fps dan 8K 30fps. Sumbangan Hasselblad pula adalah pada perisian Natural Colour Calibration yang bertujuan untuk menghasilkan warna yang lebih tepat untuk sebarang gambar dan video yang diambil daripada telefon OnePlus 9.

OnePlus juga akan memperkenalkan kanta freeform yang mereka katakan boleh menghapuskan efek lengkungan (distortion) dalam gambar ultra-lebar. Untuk spesifikasi lain, OnePlus 9 dijangka akan dilengkapi cipset Snapdragon 888, skrin 120Hz berukuran 6.56 inci, RAM 12GB dan storan 256GB.

Di samping itu, CEO OnePlus Pete Lau turut mengesahkan dalam forum rasmi bahawa pengecas untuk telefon ini akan disertakan dalam kotaknya.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OnePlus 9 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version