Site icon TechNave BM

Siri OnePlus 9 mungkin hadir dengan tiga model berbeza, dilengkapi Snapdragon 875, skrin 144hz

Beberapa minggu yang lalu, OnePlus telah melancarkan telefon flagship terbaru mereka iaitu OnePlus 8T. Kini, telah muncul khabar baru untuk generasi baru telefon flagship mereka iaitu OnePlus 9. Berdasarkan sumber, siri OnePlus 9 ini bakal hadir dengan tiga model, berlainan dengan telefon flagship mereka sebelum ini.

Sumber menyatakan bahawa varian terendah untuk OnePlus 9 ini datang dengan nombor model LE2110. Untuk versi Pro pula, terdapat tiga nombor model untuk kawasan jualan berbeza iaitu LE2117, LE2119 dan LE2120. Selain dari dua model ini, sebuah lagi peranti dengan nombor model LE2127 juga disebut sebagai sebuah model dalam siri OnePlus 9 ini. Walau bagaimanapun, LE2127 ini berkemungkinan merujuk kepada peranti OnePlus 9T.

Untuk spesifikasi, siri OnePlus 9 ini bakal dilengkapi dengan cipset Snapdragon 875 dan skrin OLED dengan kadar segar semula 144Hz. Ia juga dijangka akan hadir dengan pengiktirafan kalis air IP68, pembesar suara stereo dan juga NFC.

Telefon siri ini juga dikatakan akan hadir dengan pengecasan pantas 65W dan juga potongan kamera di atas skrinnya. Ini bermakna telefon flagship OnePlus ini mungkin tidak hadir dengan kamera bawah skrin seperti sebilangan telefon flagship yang dikhabarkan akan dijual pada tahun hadapan.

OnePlus dijangka akan melancarkan siri flagship OnePlus 9 ini lebih awal dari biasa iaitu pada bulan Mac yang akan datang.

Adakah anda teruja dengan kehadiran flagship terbaru OnePlus ini? Komen pendapat anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizchina

Exit mobile version