Site icon TechNave BM

Siri OPPO Find X8 dilancar di Malaysia: Kamera Hasselblad, cipset Dimensity 9400 bermula RM3,699

OPPO hari ini telah melancarkan siri telefon pintar flagship terbaru untuk pasaran global iaitu OPPO Find X8 dan OPPO Find X8 Pro. Selepas OPPO Find X6 dan Find X7 pada tahun lalu dihadkan untuk pasaran China sahaja, kini OPPO kembali menawarkan telefon pintar flagship OPPO Find untuk pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.

Kedua-dua telefon ini mempunyai rekaan yang hampir serupa, dengan rekaan bonggol kamera Cosmos Ring di bahagian belakang. Di bahagian sisi, ia mempunyai Aler Slider untuk menetapkan status bunyi telefon antara Silent, Vibrant dan Ringing. Find X8 mempunyai skrin 6.59 inci, manakala Find X8 Pro mempunyai skrin 6.78 inci.

Find X8 Pro dalam warna Space Black dan Pearl White
Find X8 Pro (dua telefon dari kiri) dan Find X8
Alert Slider di bahagian sisi

Skrin ini mempunyai panel AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 4,500 nits untuk kandungan Ultra HDR. Ia juga mempunyai sempadan bezel yang paling nipis untuk telefon OPPO setakat ini, iaitu 1.45mm sahaja. Bagi menghasilkan pengalaman tontonan yang selesa, ia mempunyai pemalapan (dimming) PWM, pemalapan DC dan pengiktirafan TÜV Rheinland Eye Comfort 4.0.

Badannya pula mempunyai mutu binaan yang tahan lasak, dengan rating kalis air IP68 (Find X8) dan IP69 (Find X8 Pro) yang membenarkannya untuk ditenggelami air sedalam 1.5 meter selama 30 minit, serta pengiktirafan tentera Swiss SGS dan MGJB 150.18A MIL-STD untuk membuktikan ketahanannya.

Untuk kamera, siri telefon ini mempunyai Hasselblad Master Camera System yang menawarkan zum optikal sehingga 3x untuk Find X8 dan sehingga 6x untuk Find X8 Pro. Find X8 mempunyai tiga kamera 50MP iaitu kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto periskop 50MP, manakala Find X8 Pro mempunyai kamera yang sama serta satu lagi kamera telefoto periskop 50MP tambahan untuk menawarkan zum optikal 6x.

Ia mempunyai Hasselblad Portrait Mode untuk gambar potret yang kemas, AI Telescope Zoom bagi menghasilkan gambar yang jelas walaupun pada zum jauh, Lightning Snap untuk ambil gambar sepantas tujuh gambar sesaat dan pemprosesan imej HyperTone Image Engine.

Untuk video, ia kini boleh merakam video Dolby Vision HDR pada resolusi 4K60fps untuk setiap kamera, termasuklah kamera hadapan.

AI Telescope Zoom boleh hasilkan gambar yang jelas, walaupun selepas zum dengan sangat jauh
Gambar daripada Hasselblad Portrait Mode

Telefon ini dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 9400, iaitu cipset telefon pintar paling canggih oleh MediaTek setakat ini. Ia dibina dengan proses 3nm generasi kedua oleh TSMC yang menawarkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 35% dan GPU sebanyak 41% berbanding Dimensity 9300.

Untuk bateri, Find X8 mempunyai kapasiti 5,630mAh manakala Find X8 Pro mempunyai kapasiti 5,910mAh. Kedua-duanya menyokong kadar pengecasan pantas 80W SUPERVOOC dan pengecasan wayarles 50W.

Sistem operasinya menggunakan Android 15 dengan antara muka ColorOS 15 dan ia bakal menerima kemas kini selama enam tahun. Ia menawarkan beberapa fungsi berdasarkan AI generatif seperti:

AI Eraser untuk buang objek yang tidak diingini dalam gambar
AI Reflection Remover untuk buang pantulan cahaya yang tidak diingini

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk siri OPPO Find X8:

OPPO Find X8

OPPO Find X8 Pro

Pra-tempahan sudah dibuka dan boleh dibuat di laman web OPPO Malaysia, OPPO Brand Stores, My OPPO Space, OPPO Authorised Dealers serta OPPO Official Estore dalam Lazada, Shopee dan TikTok Shop, sehingga 29 November 2024. Setiap pra-tempahan akan disertakan dengan hadiah bernilai RM3,214.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OPPO Find X8 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version