Site icon TechNave BM

Siri OPPO Find X9 bakal dilancar secara global pada 28 Oktober ini

OPPO secara rasmi mengumumkan siri mercu terbaharu iaitu Find X9 dan Find X9 Pro yang akan dilancarkan secara global pada 28 Oktober ini. Find X9 Pro menjadi tumpuan dengan kehadiran sensor 200MP Hasselblad telephoto dan disokong oleh sistem pemprosesan imej lumo image engine yang dibangunkan sendiri oleh OPPO.

Sistem ini turut menambah baik penghasilan warna dan julat dinamik bagi menghasilkan kualiti gambar setanding kamera profesional. Rakaman video pula menyokong sehingga 4k pada 120fps dengan Dolby Vision, selain pilihan log recording yang serasi dengan piawaian ACES (Academy Color Encoding Standard) untuk kegunaan sinematografi.

Kedua-dua model menampilkan rekaan skrin rata dengan bezel seimbang sekitar 1.15mm. Find X9 menggunakan skrin 6.59 inci manakala Find X9 Pro hadir dengan panel 6.78 inci. Kedua-duanya dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9500 manakala baterinya menggunakan teknologi silicon-carbon generasi ketiga dengan kapasiti 7,025mAh untuk Find X9 dan 7,500mAh bagi model Pro.

OPPO mendakwa ia mampu bertahan hampir dua hari penggunaan biasa dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC. Kedua-dua peranti menjalankan ColorOS 16 yang kini dilengkapi ciri kecerdasan buatan seperti AI Portrait Glow dan Luminous Rendering Engine. Tempahan dibuka dari 17 hingga 28 Oktober dengan tawaran travel companion kit sebagai hadiah eksklusif.

OPPO dijangka mengumumkan harga rasmi untuk pasaran global termasuk malaysia pada hari pelancaran nanti. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version