OPPO dijangka melancarkan siri OPPO Reno15 tidak lama lagi, selepas memperkenalkan Reno14 dan Reno14 Pro pada Mei lalu. Berdasarkan khabar angin terbaru, siri kali ini akan menampilkan tiga model utama iaitu Reno15, Reno15 Pro dan Reno15 Pro Max.
Menariknya, OPPO nampaknya mengikut jejak langkah Apple dengan nama “Pro Max”. Model tertinggi, Reno15 Pro Max dikatakan bakal hadir dengan paparan LTPO OLED rata berukuran 6.78 inci, resolusi 1.5K dan kadar segar semula 120Hz.
Dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9400, Reno15 Pro Max juga akan menampilkan tiga kamera belakang termasuk kamera utama 200MP menggunakan sensor Samsung ISOCELL HP5, kamera telefoto 50MP dan satu kamera ultralebar bersama kamera swafoto 50MP di hadapan.
Kapasiti baterinya dijangka sekitar 6,500mAh, lengkap dengan pengimbas cap jari dalam paparan, sokongan Wi-Fi 7 dan NFC. Ia akan menjalankan Android 16 berasaskan ColorOS 16. Siri Reno15 dijangka dilancarkan di China hujung tahun ini sebelum dilancarkan ke pasaran global termasuk India pada awal 2026.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Smartprix

