Site icon TechNave BM

Siri OPPO Reno5 dilancar di China : Skrin OLED 90Hz, cas pantas 65W, harga bermula ~RM1675

Siri OPPO Reno5 akhirnya dilancarkan di China dengan dua model yang berbeza, OPPO Reno5 5G dan OPPO Reno5 Pro 5G. Spesifikasi kedua-dua model ini hampir sama dengan perbezaan utamanya adalah cipset yang digunakan. Kedua-dua peranti ini hadir dengan antara muka ColorOS 11 atas Android 11.

OPPO Reno5 Pro 5G menggunakan cipset Mediatek Dimensity 1000+ 5G manakala Reno5 5G dengan cipset Snapdragon 765 5G. Kedua-dua peranti ini hadir dengan skrin OLED dengan kadar segar semula 90Hz namun saiznya adalah sedikit berbeza. Reno5 Pro 5G dilengkapi skrin 6.55 inci sedikit lebih besar daripada Reno5 yang hadir dengan skrin 6.43 inci.

Untuk kamera pula, kedua-dua peranti ini menggunakan kamera utama 64MP f/1.7 bersama kamera ultra lebar 8MP dan dua modul kamera 2MP. Telefon siri OPPO Reno5 ini mampu merakam video resolusi 4K pada kadar 30fps sahaja.

Pada bahagian depan, ia dilengkapi kamera swafoto 32MP yang mempunyai ciri face unlock, alternatif kepada sensor cap jari dalam skrin.

Tambahan lagi, kedua-dua peranti ini menggunakan bateri 4,300mAh yang menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 2.0 65W. OPPO Reno5 hadir dengan bicu 3.5mm tetapi tidak pada OPPO Reno5 Pro.

OPPO kali ini menghasilkan kemasan Reno Glow pada panel belakangnya. Kaca panel belakangnya hadir dengan corak segi tiga mikroskopik yang dapat menghalang cap jari dari terlekat. OPPO turut meletakkan lapisan pendarflour pada bonggolan kamera peranti siri ini, jadi ia akan bersinar pada tempat yang gelap.

OPPO Reno5 5G dan Reno5 Pro 5G ditawarkan dengan dua varian berbeza, RAM 8GB dengan storan 128 dan RAM 12GB dengan storan 256GB. Untuk harga pula, OPPO Reno 5 5G dijual pada 2,700 Yuan (~RM1674) dan 3,000 Yuan (~RM1860) manakala Reno 5 Pro 5G pada 3,400 Yuan (~RM2108) dan 3,800 Yuan (~RM2356).

Sebuah lagi telefon siri Reno5 akan dilancarkan pada 24 Disember ini. Nantikan berita lanjut mengenai siri Reno5 ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version