Site icon TechNave BM

Siri OPPO Reno7 akan dilancar untuk pasaran antarabangsa pada 4 Februari 2022

OPPO bakal melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan terbaru, OPPO Reno7, pada hari Jumaat, 4 Februari 2022 di India untuk pasaran antarabangsa. Siri OPPO Reno7 terdiri daripada OPPO Reno7, OPPO Reno7 SE dan OPPO Reno7 Pro.

Sebelum ini, semua varian Reno7 telah pun dilancar untuk pasaran China pada bulan November 2021. Untuk pelancaran di India, OPPO telah mengesahkan bahawa varian OPPO Reno7 Pro bakal dilancar namun dua lagi varian masih belum dikenal pasti.

OPPO mengatakan siri Reno7 bakal mempunyai permukaan belakang yang dibina dengan teknologi Laser Direct Imaging (LDI) untuk menghasilkan ukiran garisan senipis 20 mikron. Ini membuatkan permukaan belakang telefon itu mempunyai corak garisan dengan sudahan pusam (matte) dan OPPO menamakannya sebagai Aircraft-Grade Shooting Star Design.

Reno7 bakal mempunyai sistem kamera Twin Moon Camera Design, di mana bonggol kameranya akan dibuat dengan besi di bahagian atas, manakala di bahagian bawah pula dibuat dengan seramik. Bulatan di sekeliling lensanya akan dibuat daripada zirconia yang mempunyai nilai kekerasan (hardness) sebanyak 8.5, lebih tinggi berbanding 5.5 dalam besi tahan karat.

Setakat ini spesifikasi yang sudah disahkan untuk Reno7 Pro termasuklah skrin AMOLED 90Hz 6.55 inci, bateri 4,500mAh, pengecasan pantas 65W, cipset MediaTek Dimensity 1200-MAX dan sensor kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP Sony IMX766, kamera ultra-lebar, kamera makro dan kamera swafoto 32MP IMX709.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan OPPO Reno7 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version