Site icon TechNave BM

Siri OPPO Reno8 5G dilancar di Malaysia: Dilengkapi MariSilicon X, sensor kamera Sony bermula RM2,399

Pada hari ini, OPPO Malaysia telah melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan iaitu Reno8 yang terdiri daripada dua varian utama, OPPO Reno8 5G dan OPPO Reno8 Pro 5G.

OPPO Reno8 Pro 5G adalah telefon kelas pertengahan pertama yang dilengkapi cip pengimejan MariSilicon X, selepas ia diperkenalkan dalam OPPO Find X5 Pro pada minggu lalu. Ia dibina dengan nod proses 6nm dan boleh menghasilkan kelajuan 18 trilion sesaat (TOPS) bagi menghasilkan gambar dan video waktu malam yang kurang noise dan lebih jelas.

Kedua-dua varian utama dalam siri Reno8 dilengkapi sensor kamera Sony IMX766 untuk kamera utama dan Sony IMX709 untuk kamera hadapan. Dengan gabungan sensor kamera andalan serta MariSilicon X, telefon ini menawarkan pelbagai fungsi kamera canggih seperti Video Ultra Malam 4K dan Video Ultra HDR 4K.

Selain itu, Reno8 5G dan Reno8 Pro 5G mempunyai bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 80W, di mana OPPO mengatakan ia boleh mengecas sebanyak 50% dalam masa 11 minit. Pengecas 80W juga akan disertakan dalam kotak.

Satu perbezaan dalam siri Reno8 juga adalah pada saiz skrin AMOLED di mana Reno8 5G mempunyai ukuran 6.4 inci dengan kadar segar semula 90Hz, manakala Reno8 Pro 5G pula mempunyai ukuran 6.7 inci dengan kadar 120Hz.

Di samping itu, kedua-dua varian utama mempunyai cipset berbeza, di mana Reno8 5G dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1300 5G manakala Reno8 Pro 5G dilengkapi cipset yang lebih canggih iaitu MediaTek Dimensity 8100-MAX 5G.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk kedua-dua telefon:

OPPO Reno8 5G

OPPO Reno8 Pro 5G

Pra-tempahan untuk kedua-dua telefon akan berlangsung sehingga 29 Julai 2022, di mana pelanggan boleh menerima hadiah percuma bernilai RM1,486. Hadiah ini termasuklah kotak hadiah eksklusif bernilai RM399, perlindungan kerosakan skrin selama satu tahun bernilai RM199 dan keistimewaan My OPPO Members bernilai RM888.

Pelanggan yang membeli telefon ini di kedai My OPPO Space dan Kedai Jenama OPPO akan menerima beg edisi terhad bernilai RM89 dan tawaran Pembelian dengan Pembelian (PDP) untuk tablet OPPO Pad Air atau fon telinga wayarles OPPO Enco Air 2 Pro.

Layari laman web OPPO untuk maklumat lanjut mengenai siri Reno8. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version