POCO bakal melancarkan siri telefon pintar POCO F6 dan POCO F6 Pro pada hari Khamis, 23 Mei 2024. Syarikat teknologi itu sebenarnya masih belum menunjukkan reka bentuk telefon tersebut, namun sebuah video pihak ketiga telah pun menunjukkan rekaan POCO F6 Pro secara menyeluruh.
Berdasarkan video itu, POCO F6 Pro adalah Redmi K70 yang dijenamakan semula untuk pasaran antarabangsa. Ia menunjukkan telefon berwarna hitam yang menyerupai Redmi K70, namun dengan penjenamaan POCO. Malangnya pada waktu artikel ini ditulis, video tersebut tidak boleh lagi ditonton oleh orang awam.
Jika diikut pada spesifikasi Redmi K70, POCO F6 Pro bakal dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, skrin OLED 6.67 inci 120Hz 1440p, bateri 5,000mAh, pengecasan pantas 120W dan kamera 50MP+8MP+2MP.
Kotak telefon itu turut didatangkan dengan pengecas pantas 120W, kabel pengecas, sarung pelindung dan alat kad SIM. Di Eropah, ia mungkin akan dijual pada harga bermula EUR619 (~RM3,160).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: GSMArena

