POCO bakal melancarkan siri telefon pintarnya yang pertama pada tahun ini iaitu POCO X7 5G dan POCO X7 Pro 5G pada hari Khamis, 9 Januari 2025. Ia bakal berlangsung di India dan setakat ini beberapa spesifikasi utama telah pun disahkan oleh POCO.
Sebagai contoh, POCO X7 Pro 5G bakal dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 8400 Ultra dan bateri sebesar 6,500mAh. Cipset tersebut dibina menggunakan nod proses 4nm dan mencatatkan markah 1.7 juta dalam penanda aras AnTuTu.
Daripada segi rekaan, POCO telah menunjukkan rekaan bonggol kamera belakang untuk POCO X7 5G dan POCO X7 Pro 5G. POCO X7 5G mempunyai empat bulatan hitam di belakang manakala POCO X7 Pro 5G sekadar mempunyai dua bulatan hitam, namun kedua-dua telefon dijangka akan mempunyai dua lensa kamera sahaja.
Spesifikasi lain untuk kedua-dua gajet masih belum diketahui. Berdasarkan laporan sebelum ini, POCO X7 5G dijangka akan mempunyai skrin 6.67 inci dengan panel AMOLED 1.5K, kadar segar semula 120Hz dan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2, manakala spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Dimensity 7300-Ultra, RAM sehingga 12GB, storan dalaman sehingga 512GB, bateri 5,110mAh dan pengecasan pantas 45W.
Ia turut mempunyai rating kalis air dan debu IP68. Untuk fotografi, ia mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS dan kamera hadapan 20MP.
Untuk POCO X7 Pro pula, ia bakal dilengkapi skrin yang sama dengan POCO X7, namun kecerahannya boleh pergi setinggi 3,200 nits dan kacanya dibuat dengan Gorilla Glass 7i.
Baterinya menyokong kadar pengecasan pantas 90W, manakala kameranya pula menggunakan sensor Sony IMX882 50MP dengan penstabilan OIS+EIS, dan menyokong rakaman video 4K60fps.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

