Site icon TechNave BM

Siri realme 12 Pro mungkin akan diumum pada 3 Januari 2024

Selepas melancarkan siri realme 11 5G pada bulan Ogos 2023, kini realme mungkin akan melancarkan telefon seterusnya dalam sisi realme Number Series pada bulan ini.

realme telah berkongsi sebuah gambar acahan (teaser) dalam laman Twitter yang menunjukkan bahawa ia akan membuat pengumuman khas pada hari Rabu, 3 Januari 2024, jam 7:30 pagi IST (10:00 pagi waktu Malaysia). Mereka tidak menyatakan nama produk yang akan diumum, namun kami mengandaikan bahawa ia mungkin adalah siri realme 12 Pro.

Gambar tersebut mengandungi kod Morse — .- -.- . .. – .-. . .- .-.. yang diterjemahkan kepada “Make It Real”. Memandangkan ia mempunyai 12 titik, ia mungkin memberi petanda bahawa syarikat teknologi itu akan melancarkan siri realme 12 Pro.

Buat masa ini, realme 12 Pro dan realme 12 Pro+ dengan nombor model RMX3840 dan RMX3842 telah pun mendapat pengiktirafan daripada agensi India, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu.

Spesifikasi yang dikhabarkan untuk siri realme 12 Pro termasuklah cipset Snapdragon 7 Gen 3, skrin OLED 120Hz, kamera telefoto 32MP dengan zum optikal 2x (realme 12 Pro) dan kamera telefoto periskop 64MP dengan zum optikal 3x (realme 12 Pro+).

Pada tahun lalu, siri realme 11 Pro dihadirkan dengan dua varian utama iaitu realme 11 Pro 5G dan realme 11 Pro+ 5G, jadi varian yang serupa boleh dijangkakan untuk siri realme 12 Pro pada tahun ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version