realme mengesahkan pelancaran siri realme 14 Pro pada Januari 2025 yang memperkenalkan dua model utama iaitu realme 14 Pro dan 14 Pro+. Siri ini akan menggunakan cip Snapdragon 7s Gen 3 dan dilengkapi kamera telefoto periskop. realme turut memperkenalkan teknologi perubahan warna pertama di dunia yang bertindak balas terhadap suhu.
Panel belakangnya direka bersama studio Valeur Designers yang boleh berubah daripada putih mutiara kepada biru terang apabila suhu di bawah 16°C. Teknologi ini menggunakan pigmen termokromik canggih yang menambah elemen unik kepada telefon ini.
Daripada segi reka bentuk, realme 14 Pro+ hadir dengan skrin AMOLED melengkung empat sisi yang menawarkan nisbah skrin-ke-badan 93 peratus dan bezel ultra nipis 1.6mm. Telefon ini hanya setebal 8mm menjadikannya salah satu peranti paling nipis.
Kamera belakangnya dikenali sebagai “Ocean Oculus” yang menampilkan sistem tiga kamera dengan flash “Magic Glow” untuk potret semula jadi walaupun dalam keadaan cahaya rendah. Telefon ini turut dijangka tahan lasak dengan penarafan IP69 dan pensijilan TUV Rheinland. Skrin OLED telefon ini menyokong resolusi 1.5K dan kadar penyegaran 120Hz.
Ia juga menyokong pengecasan pantas 80W dan kamera utama 50MP dilengkapi sokongan OIS serta lensa telefoto periskop dengan zum optik 3x. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: X realme

