Site icon TechNave BM

Siri realme 9 dijangka terdiri daripada empat model, dilancarkan pada suku pertama 2022

Dalam setahun, realme kebiasaannya akan melancarkan dua generasi telefon pintar dalam sirinya. Tetapi, Naib Presiden realme dalam temu bualnya pada September lalu mendedahkan bahawa syarikat itu terpaksa menukar rancangannya tahun ini kerana kekurangan cipset dan pelancaran siri realme 9 telah dianjak ke tahun 2022.

Walaupun beliau tidak mendedahkan apa-apa lagi tentang siri realme 9, kami mendapat perkhabaran bahawa siri itu akan dilancarkan di India pada suku pertama tahun 2022. Sumber itu mendakwa bahawa siri realme 9 akan merangkumi empat telefon pintar iaitu realme 9, realme 9 Pro, realme 9i dan realme 9 Max/Pro+.

Varian terakhir mungkin tidak menggunakan siri nombor dan menggunakan nama Max atau Pro+. Ini bukan langkah pertama untuk realme memandangkan syarikat itu telah menukarkan nama realme X7 Max 5G untuk pasaran India yang mana model asalnya ialah realme GT Neo.

Berbalik kepada siri realme 9, sumber itu mengatakan bahawa realme merancang untuk melancarkan keempat-empat model di India pada Februari depan. Namun, kita mungkin melihat bahawa realme akan mengumumkan telefon itu pada dua acara berbeza.

Kami tidak mempunyai banyak maklumat tentang siri realme 9 ini, tetapi khabar angin mengatakan bahawa model Pro dan Max/Pro+ akan dilengkapi dengan cipset Snapdragon 870 dan skrin AMOLED 120Hz dan mungkin kamera utama 108MP.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version