Site icon TechNave BM

Siri Redmi Note 11 dilancar: Miliki kamera 108MP, skrin AMOLED 120Hz dan bateri 5,000mAh bermula ~RM750

Hari ini, Xiaomi mengumumkan siri Redmi Note 11 untuk pasaran global iaitu Redmi Note 11 Pro 5G, Redmi Note 11 Pro, Redmi Note 11S dan Redmi Note 11. Siri Redmi Note 11 membawa peningkatan pada sistem kamera, kelajuan pengecasan, paparan dan prestasi telefon pintar.

Redmi Note 11 Pro 5G, Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note 11S menampilkan sensor utama 108MP, membolehkan anda merakam dalam resolusi tinggi dan butiran jelas. Dengan sensor Samsung HM2 bersaiz 1/1.52″, ia menggunakan teknologi binning piksel 9-dalam-1 serta dwi ISO untuk menyampaikan imej dengan prestasi warna yang lebih tinggi walaupun dalam cahaya malap. 

Kamera sudut ultra lebar 8MP memberi sudut tontonan 118 darjah dan kamera makro 2MP untuk menangkap butiran halus dari dekat. Selain itu, kamera kedalaman (depth) 2MP pada Redmi Note 11 Pro, Redmi Note 11S dan Redmi Note 11 membolehkan anda mencipta kesan bokeh semula jadi untuk tangkapan potret. Bahagian hadapan Redmi Note 11 Pro 5G, Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note 11S menampilkan kamera hadapan 16MP yang boleh menangkap swafoto yang jelas.

Peranti dilengkapi dengan skrin FHD+ AMOLED DotDisplay menampilkan gamut warna lebar DCI-P3 sehingga 1200 nits dengan kadar penyegaran sehingga 120Hz, kadar pensampelan sentuhan sehingga 360Hz dan badan rata di bahagian tepi. Siri Redmi Note 11 meningkatkan prestasi skrin dan bebas lag sambil menawarkan sentuhan jari yang tepat. Ia mempunyai dua pembesar suara super linear di bahagian atas dan bawah dengan bunyi stereo yang kuat untuk gaming atau menonton video.

Redmi Note 11 Pro 5G dikuasakan oleh cipset Snapdragon 695 6nm yang menyokong sambungan 5G dan kelajuan clock sehingga 2.2 GHz . Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note 11S pula dikuasakan oleh cipset MediaTek Helio G96 dan RAM 8GB. Redmi Note 11 dilengkapi dengan cipset Snapdragon 680 6nm peringkat andalan untuk menjimatkan kuasa. 

Selain itu, keempat-empat peranti siri Redmi Note 11 membawa bateri 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan turbo 67W dalam Redmi Note 11 Pro 5G dan Redmi Note 11 Pro yang mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk mengisi sehingga 50% bateri manakala Redmi Note 11S dan Redmi Note 11 menampilkan pengecasan pantas 33W Pro membolehkan anda mengecas hingga 100% dalam masa sejam.

Anda boleh dapatkan Redmi Note 11 bagi varian bermula $179 (~RM750), Redmi Note 11S pada $249 (~RM1,043), Redmi Note 11 Pro dengan harga $299 (~RM1,253) dan Redmi Note 11 Pro 5G pada harga $329 (~RM1,379).

Kami masih menunggu ketibaan peranti ini di Malaysia dan harganya. Sementara itu, kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version