Xiaomi secara rasmi mengumumkan bahawa siri REDMI Note 17 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 2 September 2026. Selain pengumuman tarikh pelancaran, Xiaomi turut menamakan pelakon dan pencipta kandungan tempatan, Meerqeen, sebagai Duta Malaysia bagi siri berkenaan.
Siri terbaharu ini membawa perubahan julung kali dalam barisan produk Redmi Note menerusi pengenalan model teratas iaitu REDMI Note 17 Pro Max selain varian standard dan Pro. Model varian tertinggi memfokuskan kepada keupayaan kapasiti bateri, tahap ketahanan reka bentuk dan prestasi kegunaan harian.
Selain itu, siri REDMI Note 17 menampilkan bateri sel silikon-karbon berkapasiti sehingga 10,000mAh yang disepadukan dengan teknologi pengecasan pantas 100W HyperCharge. Baterinya boleh bertahan sehingga tiga hari dengan satu kali pengecasan penuh dan direka untuk kekal bertahan melebihi 80% kapasiti asal walaupun selepas 1,600 kitaran pengecasan.
Bagi aspek ketahanan fizikal, ia menerima pengiktirafan piawaian ujian ketahanan TÜV SÜD yang merangkumi perlindungan ujian jatuh dari ketinggian hingga 3 meter. Siri ini juga dilengkapkan dengan binaan kalis air dan debu menerusi penarafan IP66, IP68, IP69 serta IP69K bagi melindungi komponen dalaman daripada semburan air bersuhu tinggi mahupun rendaman.
Spesifikasi penuh mengenai varian cip pemprosesan, tawaran memori RAM, storan dalaman, tetapan kamera serta tanda harga jualan tempatan bakal diumumkan secara rasmi sewaktu majlis pelancaran pada 2 September nanti. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: REDMI

