Site icon TechNave BM

Siri Samsung Galaxy S20 muncul di Geekbench

Menjelang acara Samsung Unpacked pada minggu hadapan, berita dan khabar angin tentang siri Galaxy S20 kian rancak. Pada kali ini, ketiga-tiga peranti daripada siri Samsung Galaxy S20 – Galaxy S20, S20 Plus dan S20 Ultra dilihat muncul pada Geekbench.

Menurut GSMArena, ketiga-tiga peranti ini diuji dengan menggunakan nombor model SM-G981, SM-G986 dan SM-G988. Nombor model tersebut merujuk kepada Galaxy S20, Galaxy S20 Plus dan Galaxy S20 Ultra. Seperti yang anda dapat lihat pada tangkapan skrin, ketiga-tiga peranti dikuasai oleh cipset Qualcomm Snapdragon 865 dan RAM 12GB. Hal ini sekurang-kurangnya dapat mengesahkan bahawa kesemua peranti tersebut hadir dengan varian RAM 12GB dan memberi bukti yang lebih berkredibiliti berbanding khabar angin spesifikasi yang lepas.

Ciri utama lain yang kami boleh jangkakan pada siri Galaxy S20 ini adalah paparan 120Hz. Ini bermakna Samsung juga menujukan peranti ini kepada gamer. Setiap model ini bagaimanapun hadir dengan kapasiti bateri dan tetapan kamera yang berlainan. Jadi, anda boleh memilih variasi yang anda suka.

Oleh kerana tarikh pelancaran Galaxy S20 yang semakin hampir, kami juga menjangkakan berita dan kemas kini yang semakin banyak berkenaan siri Galaxy S20. Adakah anda berminat dengan salah satu model siri Samsung Galaxy S20? Beritahu kami di laman Facebook dan ikuti TechNaveBM.com untuk lebih berita dan kemas kini.

Exit mobile version