Site icon TechNave BM

Siri Samsung Galaxy S23 akan dilengkapi aplikasi Adobe Lightroom untuk penyuntingan gambar

Selepas melancarkan siri telefon pintar andalan Samsung Galaxy S23 pada hari ini, syarikat perisian kreatif Adobe mengumumkan bahawa semua telefon dalam siri itu akan menggunakan aplikasi Adobe Lightroom untuk menyunting gambar yang diambil dengan aplikasi Expert RAW.

Semua model Galaxy S23 mempunyai aplikasi Expert RAW yang membenarkannya untuk mengambil gambar dalam format RAW 16-bit dan menyunting gambar dengan lebih mendalam berbanding format JPEG.

Bagi memudahkan suntingan gambar RAW, Adobe Lightroom menawarkan beberapa preset dan tutorial untuk mengajar pengguna menyunting dengan lebih mendalam, selain menawarkan teknologi penambahan butiran (detail enhancement) untuk para pengguna yang lebih profesional.

Antara fungsi suntingan yang ditawarkan oleh Lightroom termasuklah sharpening, smoothing, masking, pembetulan warna, noise reduction dan automatic version saving. Pengguna juga boleh menyimpan gambar yang telah disunting ke dalam perkhidmatan awanan (cloud storage) bagi mengosongkan ruang dalam telefon.

Memandangkan Galaxy S23 Ultra adalah telefon Samsung pertama yang dilengkapi kamera 200MP, aplikasi Lightroom ini pasti akan dimanfaatkan oleh mereka yang menggunakan sensor kamera itu sepenuhnya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version