Site icon TechNave BM

Siri Samsung Galaxy S23 dilancar di Malaysia: SD 8 Gen 2, kamera 200MP, cas pantas 45W bermula RM3,899

Samsung telah melancarkan siri telefon pintar andalan terbaharu untuk tahun ini iaitu Samsung Galaxy S23 yang terdiri daripada Samsung Galaxy S23, Samsung Galaxy S23+ dan Samsung Galaxy S23 Ultra.

Daripada segi luaran, ketiga-tiga varian tidak mempunyai banyak perbezaan dengan siri Galaxy S22 sebelum ini. Galaxy S23 mempunyai skrin bersaiz 6.1 inci, Galaxy S23+ mempunyai skrin 6.6 inci manakala Galaxy S23 Ultra pula mempunyai skrin terbesar iaitu 6.8 inci.

Buat pertama kali untuk sebuah telefon Galaxy, semua varian Galaxy S23 akan mempunyai skrin dengan kecerahan puncak sehingga 1,750 nits. Semua skrin Galaxy S23 dibina dengan kaca Gorilla Glass Victus 2 untuk ketahanan tertinggi.

Seperti dalam siri Galaxy S22 sebelum ini, Galaxy S23 Ultra juga merupakan satu-satunya varian yang turut disertakan bersama stilus S Pen dalaman.

Untuk spesifikasi dalaman pula, siri Galaxy S23 bakal dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 untuk prestasi terpantas dalam telefon Android. Saiz bateri untuk ketiga-tiga varian adalah berbeza, di mana Galaxy S23 mempunyai bateri 3,900mAh, Galaxy S23+ dengan 4,700mAh dan Galaxy S23 Ultra pula dengan 5,000mAh.

Kadar pengecasan telah dikekalkan daripada Galaxy S22 sebelum ini, di mana Galaxy S23 Ultra akan mempunyai kadar pengecasan pantas 45W dan pengecasan wayarles 15W. Varian Galaxy S23 lain akan dilengkapi kadar pengecasan 25W.

Satu perkara menarik untuk Galaxy S23 Ultra adalah ia merupakan telefon Samsung pertama yang mempunyai kamera utama 200MP, membenarkan pengguna untuk mengambil gambar dengan butiran yang lebih tinggi. Ia juga mempunyai kamera ultra-lebar 12MP, kamera telefoto 3x 10MP dan kamera telefoto 10x.

Kamera telefon ini menyokong penstabilan imej optikal yang lebih luas sebanyak dua kali ganda berbanding Galaxy S22. Ia turut mempunyai penstabilan video VDIS dan boleh merakam video dalam resolusi 8K dengan kadar bingkai 30fps.

Untuk perisian, Galaxy S23 mempunyai sistem operasi OneUI 5 berdasarkan Android 13. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk siri Samsung Galaxy S23:

Samsung Galaxy S23

Samsung Galaxy S23+

Samsung Galaxy S23 Ultra

Anda boleh buat pra-tempahan untuk mana-mana Galaxy S23, di mana anda boleh dapatkan storan lebih tinggi sebanyak dua kali ganda (bernilai RM500) pada harga asal. Sebagai sebahagian daripada Eco-Promotions, anda boleh dapatkan diskaun 30% apabila anda turut membeli aksesori, tablet, jam tangan atau fon telinga Galaxy terpilih.

Pra-tempahan yang dibuat di laman web Samsung Malaysia akan menerima baucar RM400, manakala pra-tempahan di kedai Samsung Experience Stores dan Samsung Authorised Partners akan menerima aksesori Samsung bernilai RM458.

Anda juga boleh menukar telefon lama (trade-in) anda untuk dapatkan rebat sehingga RM600. Layari laman web Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai pembelian Galaxy S23.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri Galaxy S23 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version