Site icon TechNave BM

Siri Samsung Galaxy S23 mungkin akan dilengkapi komunikasi satelit mirip iPhone 14

Selepas Apple memperkenalkan fungsi komunikasi satelit untuk waktu kecemasan dalam siri iPhone 14, Samsung juga mungkin akan mengikut jejak langkah Apple itu dengan memperkenalkannya dalam siri telefon pintar Samsung Galaxy S23 pada tahun hadapan.

Samsung dikhabarkan akan bekerjasama dengan Iridium Communications untuk memperkenalkan komunikasi satelit dalam siri Galaxy S23. Iridium Communications memiliki 66 satelit yang mengorbit Bumi dari orbit rendah (low Earth orbit) untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi kepada para kliennya.

Syarikat teknologi Korea Selatan itu telah membangunkan teknologi ini sejak dua tahun lepas dan ia bakal diperkenalkan buat kali pertama dalam siri Galaxy S23. Sungguh pun begitu, komunikasi satelit ini mungkin hanya boleh digunakan untuk komunikasi ringkas seperti menghantar mesej teks atau fail imej kecil.

Samsung meramalkan bahawa teknologi ini mungkin tidak mendapat sambutan di Korea Selatan kerana negara itu mempunyai saiz yang kecil serta diliputi rangkaian 5G di hampir semua kawasan, namun ia mungkin akan mendapat sambutan tinggi di benua Amerika, Eropah dan Asia terutamanya di negara-negara yang tidak mempunyai infrastruktur telekomunikasi canggih.

Sebelum ini, siri iPhone 14 memperkenalkan fungsi Emergency SOS di mana pengguna boleh menghantar isyarat kecemasan melalui satelit Globalstar jika mereka berada di kawasan terpencil. Ini merupakan kali pertama sebuah telefon pintar untuk kegunaan orang awam dilengkapi komunikasi satelit yang ringkas.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ET News

Exit mobile version