Site icon TechNave BM

Siri Samsung Galaxy S24 dilancar di Malaysia: SD 8 Gen 3 dengan fungsi AI dipertingkat bermula RM4,099

Selepas pelbagai khabar angin mengenai kemunculannya, akhirnya siri Samsung Galaxy S24 dilancarkan secara rasmi dalam acara Samsung Galaxy Unpacked yang berlangsung pagi tadi. Siri ini terdiri daripada tiga model telefon iaitu Samsung Galaxy S24, Samsung Galaxy S24+ dan Samsung Galaxy S24 Ultra.

Siri Samsung Galaxy S24 yang bertemakan Galaxy AI kali ini mengetengahkan ciri dan aplikasi kecerdasan buatan (AI). Daripada segi luaran, siri Samsung Galaxy S24 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya tetapi dengan beberapa penambahbaikan seperti skrin rata, bahan titanium yang digunakan dan peningkatan prestasi kamera.

Samsung Galaxy S24 standard mempunyai paparan Skrin Dynamic AMOLED 2X FHD+ 6.2 inci dengan resolusi 2340×1080 piksel, segar semula skrin 120Hz, cipset Exynos 2400, RAM 8GB, pilihan storan 128/256/512GB dan bateri berkapasiti 4,000mAh dengan pengecasan 25W.

Kameranya terdiri daripada kamera utama sudut lebar 50MP OIS (F1.8, FOV 85˚ ) + telefoto 10MP OIS (F2.4, 3x, FOV 36˚ ) + sudut ultra lebar 12MP (F2.2, FOV 120˚) . Bahagian hadapan pula menampilkan kamera swafoto 12MP (F2.2, FOV 80˚ ).

Samsung Galaxy S24 Plus pula menampilkan Skrin Dynamic AMOLED 2X QHD+ 6.7 inci dengan resolusi 3120×1440 piksel, segar semula skrin 120Hz, cipset Exynos 2400, RAM 12GB, pilihan storan 256/512GB, bateri 4,900mAh dengan pengecasan 45W dan susunan tiga kamera yang sama seperti S24 standard.

Yang terakhir, Galaxy S24 Ultra dilengkapi Skrin Dynamic AMOLED 2X QHD+ 6.8 inci dengan resolusi 3120×1440 piksel, Snapdragon 8 Gen 3, RAM 12GB, pilihan storan 256/512GB/1TB dan bateri 5,000mAh dengan pengecasan 45W.

Bahagian belakang hadir dengan kamera utama sudut lebar 200MP OIS (F1.7, 0.6µm) + 50MP (F3.4, 5x, 0.7µm) + dwi telefoto 10MP (F2.4, 3x, 1.12µm) + sudut ultra lebar 12MP ( F2.2 , 1.4µm) | Penderia AF Laser (penderia autofokus laser). Kamera swafoto pula menggunakan sensor 12MP (F2.2, FOV 80˚).

Siri Galaxy S24 menggunakan sistem operasi One UI 6.1 berdasarkan OS Android 14 terbaharu Google. Ciri berkuasa AI menjadi tumpuan utama dalam One UI 6 dengan kertas dinding generatif dan pengeditan foto pintar.

Sorotan lain ciri AI yang terdapat pada siri kali ini ialah Circle to Search with Google, Call Assist, Writing Assist, Note Assist, Transcript Assist dan Browsing Assist. Untuk maklumat lanjut mengenai fungsi Galaxy AI baharu dalam siri Samsung Galaxy S24, anda boleh klik di sini.

Samsung melanjutkan kitaran hayat produknya dengan menawarkan tujuh tahun peningkatan OS dan tujuh tahun kemas kini keselamatan untuk siri Samsung Galaxy S24. Dapatkan RM500 eBaucar, storan berganda bernilai RM500 dan nikmati rebat tambahan RM200 daripada baucar ROI anda semasa membuat pembayaran.

Anda juga akan mendapat tambahan RM450 apabila anda menukar ganti peranti lama anda. Untuk Samsung Galaxy S24 Ultra pula, anda masih dapat faedah yang sama seperti di atas tetapi terdapat perubahan untuk rebat tambahan RM400 daripada baucar ROI dan mendapat tambahan RM650 apabila menukar ganti peranti lama anda.

Samsung Galaxy S24 Ultra

Samsung Galaxy S24+

Samsung Galaxy S24

Sila layari laman rasmi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut dan pembelian. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan salah satu peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version