Site icon TechNave BM

Siri Samsung Galaxy S24 mungkin akan dilancar pada 17 Januari 2024

Setiap tahun, Samsung biasanya akan mendahului industri telefon pintar dengan melancarkan siri telefon pintar andalan Galaxy S yang terbaru pada bulan Januari. Nampaknya tradisi itu mungkin akan diteruskan lagi pada tahun ini, di mana siri Samsung Galaxy S24 dikhabarkan akan dilancar pada hari Rabu, 17 Januari 2024.

Menurut pengkhabar berita teknologi Arsène Lupin, Samsung akan melancarkan siri telefon tersebut di San José, California, Amerika Syarikat pada hari 17 Januari 2024, jam 10:00 pagi PST (waktu Malaysia 18 Januari 2024, jam 2:00 pagi). Beliau berkata jemputan telah pun dihantar kepada media-media terpilih.

Acara tersebut dinamakan sebagai “Unpacked: Galaxy AI is Coming” yang mungkin menunjukkan fungsi kecerdasan buatan (AI) khas yang akan dilengkapkan dalam siri Galaxy S24. Dengan peningkatan perkhidmatan AI yang semakin popular pada waktu ini seperti ChatGPT dan DALL-E, Galaxy S24 mungkin akan menawarkan fungsi AI yang sama untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

Sebelum ini sudah pun mendapat khabar tentang tarikh pelancaran 17 Januari, namun ini adalah kali pertama kita menyaksikan sebuah jemputan dengan media visual yang nampak seperti rasmi daripada Samsung.

Selain daripada itu, pelbagai spesifikasi sudah dikhabarkan untuk siri Galaxy S24. Ia bakal dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 3 yang dipertingkatkan secara overclock, fungsi komunikasi satelit manakala spesifikasi lain pula tidak banyak beza dengan siri Galaxy S23 sebelum ini.

Daripada segi luaran, empat pilihan warna untuk Galaxy S24 Ultra telah pun tertiris manakala reka bentuknya tidak banyak berubah daripada Galaxy S23 Ultra.

Setakat ini masih tiada maklumat rasmi oleh Samsung mengenai pelancaran siri Galaxy S24. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version