Site icon TechNave BM

Siri vivo X100 akan dilancar pada 13 November 2023, telefon pertama dengan cipset Dimensity 9300

vivo bakal melancarkan siri telefon pintar andalan (flagship) yang seterusnya, vivo X100, pada 13 November 2023 jam 7:00 malam di China. Syarikat teknologi itu telah berkongsi beberapa video pendek dan gambar di Weibo yang menunjukkan rekaan telefon itu secara ringkas.

vivo X100 bakal ditawarkan dalam empat warna iaitu jingga, biru muda, putih dan hitam, manakala permukaan belakangnya mempunyai kemasan kulit (leather). Selain itu, ia mempunyai bonggol kamera berbentuk bulat yang menempatkan empat lensa kamera Zeiss.

Ia bakal menjadi telefon pertama dengan lensa Zeiss APO Super-Telephoto Lens yang menjanjikan kualiti imej cantik walaupun dalam situasi malap. vivo X100 Pro akan mempunyai sensor kamera berukuran 1 inci yang boleh menangkap lebih banyak cahaya, dan cip pengimejan vivo V3 untuk pemprosesan kualiti imej yang lebih jelas.

Selain itu, vivo X100 Pro akan menjadi telefon pertama dalam dunia yang dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 9300. Ini merupakan cipset andalan terbaru oleh MediaTek yang dibina dengan nod proses 4nm+ dan menjanjikan prestasi lebih pantas sebanyak 40 peratus berbanding Dimensity 9200, sambil menggunakan tenaga lebih rendah sebanyak 33 peratus.

vivo juga telah berkongsi harganya untuk pasaran China, iaitu bermula CNY3,999 (~RM2,560) untuk varian vivo X100 yang terendah dengan RAM 12GB dan storan 256GB.

Harga vivo X100 untuk pasaran China

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version