Site icon TechNave BM

Siri vivo X80 akan dilancar pada 25 April 2022

Pada awal bulan ini, vivo telah melancarkan beberapa produk baharu yang sangat menarik seperti vivo Pad, vivo X Fold dan vivo X Note. Kini syarikat teknologi China itu akan melancarkan sebuah lagi produk canggih pada bulan ini iaitu siri telefon pintar andalan vivo X80.

Melalui sebuah tulisan di media sosial Weibo, vivo bakal melancarkan siri vivo X80 pada hari Isnin, 25 April 2022 jam 7:00 malam waktu China. Mereka turut berkongsi beberapa poster yang menunjukkan rekaan peranti tersebut pada bahagian belakangnya.

Ciri yang paling unik adalah pada bonggol kameranya yang besar dan berbentuk petak. Dalam petak tersebut, terdapat sebuah lagi bonggol berbentuk bulat yang menempatkan empat lensa serta lampu kilat. Terdapat khabar mengatakan bahawa bonggol petak itu akan turut menempatkan sebuah skrin kecil bagi memudahkan pengguna untuk mengambil swafoto menggunakan kamera utama.

Seperti siri vivo X70 sebelum ini, siri vivo X80 bakal dilengkapi ciri-ciri fotografi khas yang dibangunkan bersama syarikat lensa terkenal Zeiss. vivo X80 juga dijangka akan mempunyai cip pemprosesan imej vivo V1+ dan sensor kamera Sony IMX886.

Siri vivo X80 dikhabarkan terdiri daripada vivo X80, vivo X80 Pro dan vivo X80 Pro+. Cipsetnya mungkin terdiri daripada MediaTek Dimensity 8100 untuk vivo X80, Dimensity 9000 untuk vivo X80 Pro dan Snapdragon 8 Gen 1 untuk vivo X80 Pro+.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri vivo X80 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version