Site icon TechNave BM

Siri Xiaomi 15 dilancar: Telefon pertama dengan Snapdragon 8 Elite, bermula ~RM2,770

Xiaomi telah memperkenalkan siri telefon pintar andalannya (flagship) yang terbaru di China iaitu Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro. Ini merupakan siri telefon pintar pertama dalam dunia yang dilengkapi cipset andalan terbaharu daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite, menjanjikan prestasi yang terpantas untuk telefon Android terkini.

Xiaomi 15

Xiaomi 15 mempunyai skrin OLED berukuran 6.36 inci dengan resolusi 1200×2670, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 3,200 nits dan pengimbas cap jari ultrasonik. Ia mempunyai kaca Xiaomi Dragon Crystal yang Xiaomi mengatakan lebih kukuh sebanyak 10 kali ganda berbanding kaca Corning Gorilla Glass Victus pada Xiaomi 14.

Rekaan luarannya pula mempunyai aloi aluminium yang menawarkan ketahanan bengkok yang lebih tinggi sebanyak 33%. Ia juga mempunyai rating kalis air IP68, port USB-C 3.2 Gen 1 dan pembesar suara stereo dengan pengiktirafan Dolby Atmos dan Hi-Res Audio.

Pilihan warna Xiaomi 15

Spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada RAM LPDDR5X 12GB atau 16GB, storan dalaman UFS 4.0 berkapasiti 256GB, 512GB atau 1TB, bateri 5,400mAh, pengecasan pantas 90W dan pengecasan wayarles 50W. Xiaomi mengatakan baterinya boleh mengekalkan kapasiti 80% walaupun selepas 1,600 kitaran cas.

Untuk kamera pula, ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Light Fusion 900, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 3x, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera swafoto 32MP. Ia dilengkapi fungsi fotografi yang dibina bersama Leica dan kini boleh merakam video pada resolusi 8K 30fps.

Sistem operasinya menggunakan Android 15 dengan antara muka HyperOS 2.0. Ia menyokong hubungan wayarles 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC.

Xiaomi 15 akan dijual di China pada harga bermula CNY4,500 (~RM2,770) untuk varian 12GB+256GB.

Xiaomi 15 Pro

Xiaomi 15 Pro mempunyai kebanyakan spesifikasi dan fungsi yang serupa dengan Xiaomi 15 standard, seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Perbezaan yang ketara adalah daripada segi saiz dan kapasiti bateri.

Skrinnya berukuran 6.73 inci dengan panel LTPO OLED, kecerahan puncak 3,200 nits, resolusi 1440×3200, kadar segar semula 1-120Hz, pengimbas cap jari ultrasonik dan kaca Dragon Crystal Glass 2.0 yang tahan calar.

Pilihan warna Xiaomi 15 Pro

Baterinya lebih besar sedikit berbanding Xiaomi 15, iaitu dengan kapasiti 6,100mAh. Kadar pengecasannya sama dengan Xiaomi 15.

Modul kameranya pula sama dengan Xiaomi 15, namun satu perbezaan kecil adalah kamera telefotonya boleh melakukan zum optikal sehingga 5x.

Xiaomi 15 Pro akan dijual di China pada harga bermula CNY5,299 (~RM3,230) untuk varian 12GB+256GB.

Setakat ini, maklumat untuk keberadaannya dalam pasaran Malaysia masih belum diketahui. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version