Site icon TechNave BM

Siri Xiaomi 18 dilapor bakal jadi yang pertama menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 6

Acara tahunan Snapdragon Summit dijadualkan berlangsung antara 22 hingga 24 September ini untuk melancarkan dua cip pemprosesan mercu iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 6 dan Snapdragon 8 Elite Gen 6 Pro. Kini, khabar angin terbaharu mendakwa Xiaomi akan menjadi yang pertama memasarkannya.

Siri Xiaomi 18 akan merangkumi tiga model berbeza iaitu model standard, Pro dan Pro Max dengan spesifikasi tersendiri. Xiaomi 18 Pro Max akan dilengkapi dua kamera 200MP termasuk sensor utama LOFIC bersaiz 1/1.28 inci manakala Xiaomi 18 Pro hadir dengan skrin belakang lebih besar serta kemungkinan fungsi Privacy Display.

Model asas Xiaomi 18 pula bersaiz sedikit besar melalui skrin 6.4 inci dan dipadankan dengan bateri berkapasiti 7,200mAh. Bagi komponen dalaman, Snapdragon 8 Elite Gen 6 dan 8 Elite Gen 6 Pro dihasilkan melalui proses 2nm serta menggunakan teras CPU Oryon generasi baharu dalam konfigurasi 2+3+3.

Cip Elite standard dilengkapi GPU Adreno 845 bersama memori grafik terbina 12MB dan LLC 6MB manakala versi Elite Pro menggunakan GPU Adreno 850 bersama memori grafik 18MB dan LLC 8MB. Qualcomm juga dilaporkan sedang membangunkan satu lagi varian iaitu Snapdragon 8 Gen 6 versi bukan Elite.

Struktur tiga gred cip ini diperkenalkan berikutan faktor harga memandangkan laporan awal menyatakan Snapdragon 8 Elite Gen 6 Pro berharga mencecah USD300. Atas faktor kos tersebut, hanya Xiaomi 18 Pro Max dan model Ultra akan datang yang akan menggunakan versi Pro, manakala Xiaomi 18 dan 18 Pro akan dijana oleh varian Elite standard.

Ketiga-tiga peranti ini tidak akan dilancarkan secara serentak di pasaran. Laporan menyatakan Xiaomi 18 Pro dan 18 Pro Max akan tiba dahulu pada September untuk memegang gelaran peranti pertama menggunakan siri Snapdragon 8 Elite Gen 6, manakala model Xiaomi 18 bersaiz kecil hanya akan dilancarkan pada Oktober.

Strategi ini mengulangi sejarah tahun lepas apabila siri Xiaomi 17 menjadi peranti pertama yang menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Pandaily

Exit mobile version