Site icon TechNave BM

SIRIM tidak akan sahkan peranti 3G, 4G tanpa sokongan VoLTE bermula tahun 2021

Baru-baru ini, SIRIM telah mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan mengesahkan atau memperakui peranti yang hanya menyokong rangkaian 3G bermula Januari 2021. Sebagai tambahan, SIRIM juga tidak akan mengesahkan peranti 4G tanpa sokongan VoLTE bermula tahun hadapan.

Memandangkan 5G dijangka tersedia pada hujung tahun 2022 atau awal tahun 2023, langkah yang diambil oleh SIRIM ini adalah seiring dengan ketersediaan industri dalam pelaksanaan 5G. Bukan itu sahaja, langkah ini turut selari dengan penamatan rangkaian 3G pada hujung tahun 2021 dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Tidak memperakui peranti yang hanya menyokong 3G adalah bukan perkara yang mengejutkan, tetapi sebaliknya untuk peranti 4G tanpa sokongan VoLTE. Memandangkan SIRIM tidak akan memperakui peranti 4G tanpa VoLTE mulai tahun hadapan, syarikat telekomunikasi dan telefon pintar pasti perlu berusaha untuk mengikuti apa yang ditetapkan.

Antara pihak yang turut terkesan adalah syarikat atau organisasi yang masih bergantung kepada 3G seperti terminal pembayaran, smart meter dan lain-lain.

Apakah pendapat anda mengenai hal ini? Adakah anda masih memakai peranti yang hanya menyokong 3G atau 4G tanpa sokongan VoLTE? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 | 2

Exit mobile version