Site icon TechNave BM

Sistem tanpa tunai boleh perbaiki indeks persepsi rasuah Malaysia

Pelaksanaan menyeluruh sistem tanpa tunai melalui inisiatif Malaysia Digital boleh memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah negara, kata Pusat Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed.

Beliau berkata ini kerana kebanyakan pihak ketika ini memberi atau menerima rasuah secara tunai.

“Apabila tiada wang tunai maka tiada wang fizikal dan setiap transaksi (digital) direkodkan, maka sudah tentu kadar rasuah akan dikurangkan dengan ketara dengan meluaskan teknologi ini (sistem tanpa tunai) kepada semua pihak,” katanya semasa tampil sebagai tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV.

Anuar Shah berkata sistem tanpa tunai juga akan memberi manfaat kepada orang ramai, sama ada pelanggan dan peniaga kerana mereka boleh memantau kawalan harga dan membandingkan harga menggunakan rekod dalam e-dompet.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan meneruskan bantuan tunai RM100 sebulan selama tiga bulan seperti Program PRIHATIN Kasih melalui e-dompet atau melalui kad pengenalan e-tunai yang disediakan hanya untuk membeli keperluan harian.

“Sebab nilai wang tunai RM100 dan e-dompet berbeza. Apabila kita menggunakan e-dompet, terdapat ‘ganjaran’ yang terlibat dan akhirnya, ia dikreditkan semula sebagai jumlah yang boleh digunakan.” katanya.

Sementara itu, Abd Azharee berkata usahawan perlu berani dan membuka minda untuk menyesuaikan diri dengan teknologi khususnya ekonomi digital daripada segi pemasaran perniagaan mereka agar tidak ketinggalan.

“Sekecil mana pun penggunaan e-dompet dalam perniagaan mereka pada masa ini, apa yang penting ialah kesediaan usahawan untuk menyesuaikan diri dengan ekonomi digital. Jika tidak, kita mungkin ketinggalan berbanding negara lain,” tambahnya lagi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version