Site icon TechNave BM

SKMM: Aktifkan penyahihan dua-faktor untuk tingkatkan tahap keselamatan dalam aplikasi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ingin menasihatkan orang ramai supaya mengaktifkan penyahihan dua faktor (two-factor authentication) untuk keselamatan melindungi akaun media sosial dan platform pemesejan anda selain daripada kata laluan.

Statistik aduan awam yang diterima oleh MCMC menunjukkan jumlah aduan berkaitan penggodaman dan kehilangan akses telah meningkat sebanyak 55 peratus iaitu 1,599 aduan pada tahun 2020 dan 2,483 aduan pada tahun 2021.

Risiko keselamatan sebegini menjadikan penggunaan 2FA wajib kerana risiko penggodaman atau pengambilalihan akaun bukan sahaja boleh mengakibatkan kecurian identiti malah boleh membawa kepada penipuan melibatkan kerugian ribuan ringgit.

Penggunaan kata laluan sebagai satu-satunya langkah keselamatan dalam aplikasi adalah lemah dan terdedah kepada risiko penggodaman atau pengambilalihan akses. Melalui 2FA, anda akan diminta untuk memasukkan kod log masuk atau kunci keselamatan khas bagi mengakses akaun.

Anda akan diberi amaran apabila terdapat percubaan log masuk daripada pelayar atau peranti mudah alih yang tidak dikenali dan diminta mengesahkan percubaan log masuk tersebut. Anda disarankan untuk mengaktifkan penyahihan dua-faktor bagi akaun anda sekarang. Anda boleh mengaktifkan penyahihan dua-faktor pada aplikasi Facebook, Twitter, Google, Instagram, TikTok, Whatsapp, Telegram dan Signal PIN.

Orang ramai juga diminta untuk tidak klik kepada pautan-pautan mencurigakan yang diterima melalui e-mel serta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon atau mesej daripada mana-mana individu yang meminta anda berkongsi kod khas seperti kod keselamatan kepada akaun media sosial serta aplikasi pemesejan anda.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: SKMM

Exit mobile version