Site icon TechNave BM

SKMM dan PDRM panggil pengurusan TikTok berhubung video berbayar yang provokatif

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pengurusan TikTok Malaysia untuk menjelaskan tiga video provokasi di platform yang boleh berunsur hasutan dan mencetuskan ketidakharmonian. 

Video tersebut mempunyai tag ‘perkongsian berbayar’ (paid partnership) memberi amaran tentang kemungkinan berulangnya rusuhan 13 Mei 1969 di Malaysia. Dalam satu kenyataan semalam, SKMM berkata pihaknya akan terus memantau edaran video TikTok tersebut. 

Selain itu, dengan kerjasama PDRM, suruhanjaya SKMM juga akan meningkatkan usaha untuk membendung penularan video dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Kandungan provokatif seperti itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

SKMM menegaskan bahawa penyebaran kandungan video sebegitu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri akan menimbulkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan benci atau prejudis dalam hal berkaitan agama dan kaum.

Jika diingat balik, sebelum ini TikTok bekerjasama dengan SKMM untuk menghapuskan kandungan ucapan benci di platform selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Sumber: Facebook SKMM

Exit mobile version