Site icon TechNave BM

SKMM digesa untuk pantas turunkan kandungan media sosial yang berunsur ajaran sesat

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya bertindak lebih pantas dalam menurunkan sebarang kandungan berunsur ajaran sesat yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata kandungan bersifat ajaran sesat ini sangat cepat disebarkan dalam media sosial, walaupun ia sudah difatwakan sebagai haram. Oleh yang demikian, beliau berpendapat SKMM harus bertindak cepat dalam mengekang penularan kandungan tersebut.

Selain itu, beliau turut berkata seorang kader atau pegawai hal ehwal agama Islam dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mula ditempatkan dalam SKMM selepas mesyuarat pada hari esok. Ini adalah bagi mempercepatkan proses menurunkan kandungan berunsur ajaran sesat dalam media sosial kerana sebelum ini, SKMM perlu datang kepada pihak JAKIM untuk membuat semakan dan itu boleh melambatkan proses.

Kenyataan itu dibuat sewaktu beliau menghadiri Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version