Site icon TechNave BM

SKMM gesa platform media sosial untuk buang iklan judi bertemakan Hari Raya

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubungi pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk membuang video iklan judi bertemakan Hari Raya yang tular pada baru-baru ini.

Setakat ini, 61 jenis kandungan media dalam Facebook, Twitter dan YouTube telah diminta untuk menurunkan video-video itu dan setakat ini 13% daripadanya telah diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan dalam platform-platform tersebut.

Walau bagaimanapun, tugas ini menjadi sukar kerana ramai pengguna media sosial telah memuat naik semula kandungan video judi itu, menyukarkan proses pembuangannya secara menyeluruh. Oleh yang demikian, SKMM juga menyatakan proses ini memerlukan kerjasama daripada rakyat Malaysia.

SKMM menasihatkan para pengguna media sosial agar tidak menyebarluaskan kandungan tersebut dan melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa tentangnya. Perbuatan berkongsi video tersebut, walaupun dengan tujuan jenaka atau untuk saling memperingati, hanya akan membantu pihak asal yang telah mencipta video judi itu.

SKMM juga menasihati kru produksi dan pelakon untuk lebih peka dan tidak terlibat dengan penerbitan sedemikian. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version