Site icon TechNave BM

SKMM: Jangan api-apikan sentimen kaum, agama dan Raja dalam media sosial

Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din mengingatkan kepada orang ramai untuk mengelakkan daripada membuat kandungan media sosial yang berbaur kebencian membabitkan kaum, agama dan Majlis Raja-Raja.

Kenyataan ini dibuat selepas platform media sosial popular seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok dibanjiri pelbagai kenyataan yang mengancam keharmonian pelbagai kaum di Malaysia, susulan daripada penggantungan parlimen yang terhasil selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

SKMM akan terus memantau media sosial tempatan bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan jelik membabitkan unsur 3R iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

Sebarang kenyataan yang mengancam ketiga-tiga unsur ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, di mana pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

SKMM akan melakukan tindakan penguatkuasaan bersama PDRM demi melindungi ketenteraman masyarakat. Orang awam boleh mengemukakan aduan tentang kandungan bersifat hasutan, provokasi atau penghinaan melalui portal Aduan SKMM, manakala maklumat tentang berita palsu boleh disalurkan kepada laman web Sebenarnya.my.

Kami berharap para pembaca akan kekal tenang pada detik penting ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: SKMM

Exit mobile version