Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjelaskan bahawa mereka akan menubuhkan sebuah Syarikat Bertujuan Khas (GOMSPV) yang dimiliki kerajaan untuk menyediakan lesen spektrum jalur 5G secara borong. Kini SKMM ingin menjelaskan bahawa sektor swasta masih akan terlibat dengan GOMSPV tersebut untuk melaksanakan perkhidmatan 5G.
Tujuan GOMSPV ditubuhkan adalah bagi membantu pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedia ada untuk meneruskan pelaksanaan gentian optik dan memperbaiki mutu rangkaian 4G. Dengan ini, beban pelaksanaan infrastruktur 5G tidak terletak pada pihak penyedia telekomunikasi dan membantu mereka untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dengan infrastruktur sedia ada.
GOMSPV juga menolak model bidaan yang diterima pakai selama ini agar syarikat telekomunikasi tidak meletakkan beban kos kepada rangkaian baharu. Model lesen yang ditawarkan secara borong nanti akan dilaksanakan secara telus dan dikawal selia.
Penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan secara runcit pula akan mempunyai akses kepada rangkaian baharu yang terbuka dan saksama. SKMM juga berharap ini akan mengurangkan persaingan berasaskan infrastruktur, sebaliknya meningkatkan persaingan berasaskan perkhidmatan yang pasti akan memanfaatkan pengguna.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

