Site icon TechNave BM

SKMM: Liputan 4G kini sudah capai 95% di seluruh negara, kelajuan purata 40.13 Mbps

Pelaksanaan Fasa 1 untuk inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam meningkatkan kualiti pengalaman jalur lebar di seluruh negara dijangka akan mencapai sasarannya pada akhir tahun 2022.

Menurut pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, liputan rangkaian 4G di seluruh negara kini sudah mencapai 95.92 peratus, menghampiri sasaran SKMM bersama syarikat telekomunikasi sebanyak 96.9 peratus.

Selain itu, kelajuan internet purata pula adalah 40.13 Mbps, melepasi sasaran 35 Mbps untuk Fasa 1 JENDELA.

Daripada segi bilangan pengguna pula, 7.027 juta premis telah pun menggunakan jalur lebar setakat 31 Mac 2022. Ini adalah hampir dengan sasaran Fasa 1 JENDELA sebanyak 7.5 juta premis.

Beliau membentangkan jumlah ini sewaktu taklimat media untuk prestasi JENDELA Suku Pertama 2022. SKMM akan terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi mencapai sasaran JENDELA serta memperluaskan liputan 4G.

Sejak rangkaian 3G ditutup secara berperingkat pada akhir 2021, 1.815 juta pengguna telah beralih daripada 3G ke 4G, mewakili 86.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelanggan 3G seramai 2.097 juta.

JENDELA merupakan sebuah pelan tindakan oleh kerajaan yang diperkenalkan pada bulan Ogos 2020 dan bertujuan untuk menambah baik komunikasi digital negara seperti yang tertera dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-20125).  Maklumat lanjut tentang JENDELA boleh diketahui dalam laman web rasmi.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version