Site icon TechNave BM

SKMM mulakan siasatan terhadap pengurangan kelajuan internet Unifi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada hari ini telah memulakan siasatan terhadap pengurangan kelajuan muat naik (upload) dalam pakej internet Unifi 500Mbps yang telah dilancarkan pada bulan lalu.

Sebelum ini, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah menawarkan kelajuan muat naik 200Mbps untuk pakej Unifi 500Mbps, namun pelbagai aduan telah difailkan di mana kelajuan muat naik telah dikurangkan sejak 2 September 2020, kepada 100Mbps sahaja. SKMM mengatakan ramai pengguna mengalami perkara yang sama dan media melaporkan pengguna telah terpedaya dengan pakej TM ini.

Sementara itu, TM mengatakan semua pelanggan masih lagi berada dalam tempoh percubaan 30 hari memandangkan pakej ini diperkenalkan pada 24 Ogos lalu. Oleh yang demikian, pelanggan boleh menamatkan pakej ini tanpa dikenakan sebarang penalti.

SKMM mengatakan jika ini melanggar kepentingan pengguna, badan kerajaan itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap TM. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Twitter, Amanz

Exit mobile version